PGM tahan 12 pendatang asing
9 Dis, Johor Bahru - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menahan seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kuala Sungai Bauk, Pasir Gogok dekat Pengerang, Kota Tinggi awal pagi ini.
Komander Markas PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abd. Rahman berkata, dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, pihaknya mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.
Menurutnya, bot itu dipercayai cuba memasuki negara ini melalui pangkalan yang tidak diwartakan.
Ketika dihampiri, beliau berkata, bot tersebut cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan 20 minit kemudian.
“Hasil pemeriksaan, terdapat lapan lelaki, tiga wanita, seorang kanak-kanak termasuk seorang tekong dan pembantunya berada dalam bot itu.
“Siasatan mendapati, kesemua mereka yang berusia antara dua hingga 45 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Khamsani berkata, kesemua mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1953/1967.
Beliau berkata, hasil penahanan itu, pihaknya turut merampas sebuah bot pancung dan sebuah enjin sangkut.
Sementara itu, beliau memberitahu, sepanjang Januari hingga awal Disember ini, pasukannya berjaya menahan seramai 556 PATI mengikut akta yang sama dan berjaya merampas 17 bot pancung bersama 30 unit enjin sangkut.



































